Perginya Biduan Negara

21:23 by

Kuala Lumpur, Disember 29 - Biduan Negara, Tan Sri S.M Salim, 88, menghempuskan nafas terakhir pada jam 5.44 petang di kediaman anaknya di Ukay Perdana akibat sakit tua.




Allahyarham S.M Salim (1928 - 2016)

Menurutnya anak sulungnya, Siti Noraishah, 60, ayahnya berada dalam keadaan kritikal sejak semalam lagi sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan. Tambahnya lagi, semua ahli keluarga telah pun diberitahu mengenai keadaan allahyarham.

Tan Sri Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al-Mahros atau lebih dikenali dengan S.M Salim telah lumpuh sejak 17 tahun yang lalu akibat dari kegagalan saraf. Sepanjang hayatnya, allahyarham telah dikurniakan pelbagai anugerah kerana usaha dan sumbangan allahyarham dalam memperjuangkan lagu irama asli melayu, antara anugerah yang telah dikurniakan ialah 'Anugerah Seri Wirama' dan 'Anugerah Biduan Negara'.

Antara lagu popular nyanyian allahyarham ialah Tak Seindah Wajah, Pantun Budi, Apa Dah Jadi, Kenang Daku Dalam Doamu dan Selamat Tinggal Bungaku. Allahyarham juga pernah tampil dengan lagu duet, antaranya artis yang pernah berduet dengan allahyarham ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Abidin. 

Permergian allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara khususnya dalam industri seni dan penyiaran. Turut merasai kehilangan allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau pergi berkunjung ke kediaman anak allahyarham di Ukay Perdana.


"Sungguh jauh dikau pergi berpisah untuk selamanya, tiada lagi senyum mesra dan gurau senda...."

Al-Fatihah