“Tok Nan” Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia

15:22 by
“Tok Nan” Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan meninggal dunia pukul 1.20 tengah hari Khamis di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan dekat sini dalam usia 72 tahun.

Pemergian secara mengejut ke Rahmatullah amat dirasai kerana allahyarham yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sepatutnya bakal menyambut hari kelahiran yang ke-73 tahun pada 27 Januari depan.
Allahyarham merupakan ketua menteri kelima negeri terbesar di Malaysia tersebut selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014 dan kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Datu selama tiga penggal itu meninggalkan seorang balu, Puan Sri Jamilah Anu dan lima orang anak iaitu Siti Rafidah, Abdul Aziz, Hayati Kamidah, Aziza Jasmin dan Azizul Anuar.
Graduan Universiti Adelaide, Australia itu mencipta sejarah tersendiri apabila Barisan Nasional (BN) Sarawak yang diterajuinya mencatat kemenangan besar Pilihan Raya Negeri tahun lalu dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi.
Allahyarham yang mesra disapa sebagai Tok Nan juga diingati rakyat Sarawak kerana mempopularkan Ooo Ha dan You You yang sering digunakan beliau apabila bertemu dengan masyarakat tempatan. – Mynewshub.cc/HAA